Sunday 14 February 2021

Alhamdulillah, Bait Muslim ❤️

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

Alhamdulillah 'ala kulli hal, segala puji bagi Allah Ta'ala.

Sekian lama, laman sesawang ini sunyi tanpa apa-apa berita, rindu nak mencoretkan sesuatu disini, cuma tidak diberi kesempatan dengan kekangan-kekangan yang dihadapi, mungkin juga asbab tiada ilham dan idea untuk menulis disini. Kadang ada sedikit masa, kita menggunakan medium media sosial yang lain, untuk berkongsi, secara ringkas.

Alhamdulillah, masih terlalu baru dalam mendirikan bait muslim, terlalu banyak benda yang ingin dikongsikan bersama, bukan sekadar pengalaman yang beberapa bulan selepas kahwin ini sahaja, tetapi pengalaman dari sebelum berkahwin juga banyak untuk dikongsikan, mana yang baik, boleh dijadikan rujukan bersama dan harap bermanfaat untuk semua, hehe insyaAllah :')

[ Alhamdulillah HAJourney #081120 ]

Merancang untuk berumahtangga ini bukan sesuatu perkara main-main, ia sangatlah perlukan keseriusan dan kematangan. Kalau fikirkan seronok, bahagia sahaja, kita perlu 'check' balik tujuan dan matlamat untuk mendirikan rumahtangga, kerana apa? Membina bait muslim itu lebih daripada apa yang difikirkan perkara indah-indah belaka. Bukan nak cerita akan ada masalah atau kesukaran dsb, tetapi ia lebih ditekankan soal tanggungjawab dan amanah. Ya, semua itu akan disoal dan dibawa ke Akhirat kelak. Perjalanan ini panjang (baca: hingga akhir hayat insyaAllah), dan pastinya tidak mudah. Oleh sebab itu, terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum membuat apa-apa keputusan. Jika sudah berbuat keputusan, maka kita perlu bertanggungjawab dengan keputusan tersebut.

Ada orang jenis akan berfikir lama sebelum membuat keputusan.
Ya, perlukan sedikit masa.
Maka kesabaran sangat diperlukan bagi mana-mana pihak. Jika tidak sabar, maka bolehlah perlahan-perlahan angkat kaki, lalu beredar. Alhamdulillah, Encik Suami telah membuktikan kesabaran beliau, kami menanti saat halal itu tiba, makan masa beberapa tahun (dirahsiakan), atas sebab kekangan juga waktu itu dalam keadaan masih belajar. Ujian dan cabaran itu tetap ada, makin lama tempoh masa itu, maka lebih banyak cabaran yang sama-sama perlu hadapi. Jika tidak mampu, memilihlah untuk percepatkan urusan pernikahan itu jauh lebih baik. 

Dalam penulisan kalini, bukanlah saya nak menceritakan bagaimana perkenalan atau perjalanan kami sebelum menjadi suami isteri, tetapi ia lebih kepada perkongsian berkaitan persediaan/persiapan sebelum hidup berumahtangga yang dipelajari dan dimiliki, untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat yang lain, moga ada manfaatnya :')

Perkara asas yang mesti kita perlu ada sebelum nak berumahtangga adalah ILMU. 
Baik Ilmu Agama, Ilmu Rumahtangga, Ilmu Kekeluargaan (Parenting) dan ilmu-ilmu lain yang kita boleh usaha belajar.

Kebiasaan soalan yang diajukan;
Perlu cukup ilmu dan bersedia sepenuhnya ke baru boleh kahwin? :')

Sahabat-sahabat, terlalu banyak persoalan yang sebegitu, yang pernah saya terima sebelum-sebelum ini. Sebelum menjawab, saya akan senyum terlebih dahulu. Siapa yang kenal saya, dia akan tahu yang saya selalu suka persoalkan semula dengan soalan-soalan agar sel-sel otak mula berhubung, buat orang berfikir, dan akhirnya boleh buat keputusan dengan sendirinya. Sebab apa? Kadang kita bercakap, memang bercampur dengan emosi, perasaan dan mungkin kurang rasional, tetapi dengan persoalan, kita mampu membuka minda untuk beri ruang berfikir.

Kadang asbab kita terlalu risau, takut, dan overthinking juga akan menyekat tindakan atau langkah kita. Sedangkan, tiada manusia yang sempurna, lengkap segala-galanya. Semua ada kelebihan dan kelemahan, tetapi bagaimana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita, dengan menggunakan sebaiknya peluang yang ada, dan tambah baik mana yang kurang. Sebab itu, hidup berumahtangga ini bukanlah kita mengharapkan kepada kesempurnaan, tetapi hidup saling melengkapi antara satu sama lain, buat kita sentiasa rasa cukup dan bahagia, insyaAllah.

Selain daripada ILMU, ya usaha berterusan adalah untuk kita sentiasa perbaiki diri. Ada masa memang kita bersemangat, ada masa Iman kita meningkat, dan kita juga perlu akui, ada masa kita hilang rasa semangat, putus asa, malas dsb, kerana ini fitrah manusia, ada pasang surut. Ambillah masa, untuk bangun semula, dan teruskan kehidupan. Ada masa kita letih dan penat, berikan sedikit masa untuk diri kita bertenang dan berehat, kembalilah semula pada Allah Ta'ala.

Dan, keep on istisyarah, istikharah dan doa yang tidak putus. Mohon sungguh-sungguh petunjuk dan pertolongan daripada Allah. Kita selamanya tidak tahu siapa yang terbaik untuk kita, siapa jodoh kita, selagi kita belum bernikah dengannya, jadi untuk apa kita habiskan masa untuk si dia yang belum jaminan milik kita? 

Jadikan diri sendiri untuk memotivasikan diri sendiri, cari kelebihan dan kekuatan yang kita boleh jadikan bekalan saat kita hilang harapan, jatuh semangat dsb. Usahalah cara macam mana sekalipun, kerana setiap individu berbeza-beza.

Kasihmu Amanahku;
"Memasuki gerbang perkahwinan adalah memasuki alam yang penuh ujian. Ia adalah alam yang membawa kita selangkah mendekati Tuhan."

Terlalu banyak yang ingin dikongsikan, cuma masa terhad. 
InsyaAllah ada rezeki, kita sambung dalam entry yang lain ❤️
Mungkin perkongsian kehidupan selepas berkahwin?:') Mohon doakan ya.

Semoga bermanfaat kepada pembaca yang setia, moga Allah redha.

2 Rejab 1442H
140221
Perjalanan baru bermula; masih bertatih menjadi seorang Isteri.

No comments:

Post a Comment